Mandi Malam dan Paru-paru Berair…
Ada orang-orang tua kita yang berkata mandi malam tidak baik untuk kesihatan.
“Nanti kau senang dapat sakit paru-paru. Tulang pun cepat reput,” demikian antara ‘amaran’ mereka.
Inilah antara kepercayaan atau ‘mitos’ yang biasa kita dengar dalam
masyarakat Melayu berhubung soal mandi malam. Terdapat beberapa lagi
kepercayaan sedemikian.
Ia termasuk, jangan minum air batu
selalu atau tidur di atas lantai simen kerana, seperti mandi malam, ia
juga dikatakan boleh menjejas paru-paru, mereputkan tulang dan
menyebabkan sakit sendi atau reumatisme.
Ada pula kepercayaan
dalam masyarakat kita yang melarang seseorang itu membiarkan dirinya
terkena hujan “ takut demam, selesema atau badan ‘masuk angin’. Dan,
jangan biarkan diri dibelenggu stres, nanti rambut cepat beruban.
Semua kepercayaan ini memanglah tidak berasas dari segi kesihatan, meskipun ia mempunyai kesan-kesan negatif yang lain.
Misalnya, kalau kita biarkan diri mandi hujan, tentulah badan terasa
sejuk dan kurang selesa, tetapi tidak semestinya ia membawa demam.
Rambut beruban pula dipengaruhi oleh faktor usia dan jika ia beruban
lebih awal daripada tempoh biasanya, lazimnya ia disebabkan oleh faktor
baka pula.
Bagaimanapun, kepercayaan mengenai ‘jangan mandi
malam, jangan banyak minum air batu, dan jangan tidur atas lantai simen
(atau seramik, batu marmar)’ walaupun beralas tikar, itu memang perlu
diperbetul, terutama kaitannya dengan penyakit paru-paru.
ADAKAH mandi pada waktu malam boleh mendatangkan kemudaratan kepada
kesihatan? Ramai dalam kalangan masyarakat Malaysia mengatakan amalan
mandi malam boleh membahayakan kesihatan.
Dr. Anies Tan,
seorang doktor perubatan di hospital swasta menjelaskan, mandi bukan
sahaja boleh membersihkan badan daripada kotoran tetapi, juga boleh
menghilangkan stres.
Katanya mandi memainkan peranan penting
dalam meningkatkan sistem imun badan selain mengelakkan berlakunya
penyakit kulit seperti ekzema dan masalah kesihatan lain.
“Kebanyakan penyakit kronik antaranya diabetis, hipertensi, kegagalan
buah pinggang dan masalah kardiovaskular muncul daripada kegagalan
sistem dalam badan, cara pemakanan dan gaya hidup kita. Tiada bukti yang
mengatakan mandi pada waktu malam boleh mendatangkan penyakit ini,”
kata beliau.
Kebaikan mandi
Malah, menurut Anies air mandian suam boleh membuka liang-liang roma badan dan membantu menghilangkan toksin.
“Mandi dengan air hangat boleh mengurangkan sakit otot dan membantu
usus berfungsi dengan baik. Tapi kalau anda sedang mengalami stres,
mandi dengan air sejuk kerana ia boleh membantu.
Katanya,
negara ini mempunyai iklim tropika di mana cuacanya adalah panas dan
lembab sepanjang tahun, oleh itu mandi malam tidak mendatangkan
kemudaratan sebenarnya.
“Lainlah kalau anda menghidapi pneumonia dan tinggal di negara yang mempunyai iklim musim sejuk.
“Amalan mandi adalah penting bagi gaya hidup sihat. Di hospital juga,
mana-mana pesakit yang boleh berjalan dan boleh mandi, memang kami
galakkan mandi.” kata beliau sambil menegaskan tujuan mandi dan memakai
pelembab adalah juga untuk memulihkan kulit kering.
Pengamal perubatan Dr Hassan Saidin menerangkan, mandi adalah kaedah baik bagi merilekskan otot badan.
“Setelah bekerja sehari suntuk, otak dan badan anda perlukan rehat.
Mandi pada malam hari (sebelum tidur) boleh membantu mengembalikan
ketahanan fizikal dan emosi.
“Terdapat banyak salah faham
tentang isu mandi pada waktu malam kerana ramai orang berpendapat ia
lebih banyak mudarat daripada kebaikan termasuk mendatangkan penyakit,”
katanya.
Persoalannya, kenapakah orang tua-tua mengatakan mandi malam tidak baik?
“Masyarakat dulu menggunakan perigi dan sungai untuk mandi. Untuk pergi
ke perigi dan sungai pada waktu malam tanpa cahaya lampu dan suasana
gelap gelita mungkin mengundang pelbagai bahaya seperti dari binatang
berbisa dan juga bahaya di sungai. Mungkin sebab itulah orang tua
melarang kita dari mandi waktu malam.
“Kini kita semakin maju
dan punya kemudahan yang jauh lebih baik. Bagi mereka yang pulang malam,
eloklah bersihkan badan terlebih dahulu sebelum ke tempat tidur,” kata
beliau.
- Bernama